17 Februari 2017 - 10:51
Rangkaian Perisik Korea Utara Aktif Di Asia Tenggara: Sumber

Perisik Korea Utara sudah beroperasi di Malaysia, Singapura dan Indonesia sejak 20 tahun lalu. Menurut sumber perisikan, operasi mereka di tiga negara berkenaan dipercayai satu daripada rangkaian terbesar di luar Korea Utara, dengan Malaysia dan Singapura menjadi pilihan Biro Pengintipan Awam (RGB), yang menguruskan operasi sulit negara itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perisik Korea Utara sudah beroperasi di Malaysia, Singapura dan Indonesia sejak 20 tahun lalu. Menurut sumber perisikan, operasi mereka di tiga negara berkenaan dipercayai satu daripada rangkaian terbesar di luar Korea Utara, dengan Malaysia dan Singapura menjadi pilihan Biro Pengintipan Awam (RGB), yang menguruskan operasi sulit negara itu.

Bagi menyesuaikan diri dan aktiviti penyamaran di Malaysia dan Singapura, pengintip berkelayakan itu akan menyamar dengan bekerja sebagai jurutera dan perunding teknikal dalam industri pembinaan selain mengendalikan restoran Korea.

"Mereka menggunakan restoran sebagai tempat mengumpul maklumat perisikan dan pengawasan, menyasar ahli politik, diplomat, individu atasan korporat dan ahli perniagaan Jepun serta Korea Selatan yang datang berkunjung atau bekerja di negara ini," kata sumber.

RGB berada di bawah Jabatan Keselamatan Negara Korea Utara atau Kementerian Keselamatan dan membuat laporan langsung kepada pemimpin Kim Jong-un. Di Indonesia, sumber berkata, RGB juga diketahui menguruskan kilang tekstil di bandar besar Indonesia termasuk Jakarta.

"Satu daripada premis itu terletak di atas sebuah restoran Korea Utara di tengah Jakarta adalah sebahagian daripada pejabat RGB Indonesia," katanya.

Bagi membiayai rangkaian itu, sumber berkata, RGB juga terbabit dalam penyeludupan dadah. Pendedahan itu susulan kegagalannya menyeludup 125 kilogram heroin ke dalam Australia menerusi Pong Su, sebuah kapal komersial pada 2003.

Sumber berkata, siasatan oleh polis Australia mendedahkan, RGB menggunakan Pelabuhan Klang sebagai tempat transit dan memasang semula peti sejuk beku konsainan dengan mengeluarkan penebat, bagi menyembunyikan dadah terbabit.

Sumber berkata, RGB juga menggunakan Malaysia pada awal tahun 2000 sebagai satu daripada destinasi untuk mengubah laluan bahan kimia terlarang, digunakan untuk membuat gas saraf ke Pyongyang menerusi China. - AsiaOne